Wednesday, 3 July 2013

AD-DHUHA


Dhuha adalah waktu yang tercatat di dalam al-Quran. Istimewanya waktu ini sehinggakan Allah bersumpah dengannya di dalam surah Ad-Dhuha : “Demi waktu Dhuha”. Pernahkah kita terfikir kenapa Allah bersumpah dengan waktu Dhuha? Kenapa tidak dengan waktu-waktu yang lain? Imam Ar-Razi berkata andai Allah bersumpah dengan sesuatu, maka ia menunjukkan perkara itu adalah sangat penting.

Dhuha bermaksud ‘pagi hari’ atau ‘panas sinar hari’. Waktu inilah manusia-manusia semua berkejar-kejaran keluar untuk mencari rezeki. Namun disebalik waktu ini Allah sebenarnya menyaran untuk meninggalkan ‘kejar-kejaran’ itu dan menunaikan solat sunat Dhuha. Waktunya adalah dari matahari naik setinggi segalah sehingga tergelincirnya matahari (masuk waktu Zohor).

Rasulullah SAW pernah bersabda berdasarkan petikan hadis dari riwayat Muslim ;

“ Dolat Dhuha itu adalah solat awwabin iaitu solat orang yang kembali kepada Allah, setelah orang mulai lupa dan sibuk dengan urusan dunia/belerja, iaitu pada waktu anak2 unta mula bangun kerana panasnya tempat pembaringannya”

Bersesuaian dengan maksudnya untuk orang yang kembali kepada Allah, maka sebagai hadiahnya terdapat 6 kelebihan yang disebut2:

1. Dicukupkan Rezeki.

Allah S.W.T menjamin rezeki yang cukup kepada hambanya yang mempunyai masa untuk solat Dhuha. Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”  (Hadis Riwayat Abu Dawud)

2. Rumah Di Syurga.

Rasulullah S.A.W memberi motivasi kepada orang yang rajin memperuntukkan sedikit waktu paginya untuk Solat Dhuha dengan sabda baginda, “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.”  (Sahih al-Jami’: 634)

3. Nilai Seperti Bersedekah.

Sesungguhnya di dalam badan kita ini terdapat 360 sendi pinjaman Allah. Sendi inilah yang membolehkan kita bekerja dan menjalani kehidupan. Maka sendi-sendi ini ada hak-haknya yang perlu kita langsaikan.

Dari Abu Dzar, dari Rasulullah S.A.W beliau bersabda : “Di setiap pagi ada kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha” ( Hadis Riwayat Muslim )

4. Diampunkan Dosa Terdahulu.

Sesungguhnya Allah amat rindu pada hambanya yang ingin menyucikan dosa. Sebanyak mana dosa yang kita lakukan, pintu keampunan Allah tidak pernah tertutup. Solat Dhuha adalah antara pintu ampunan yang disediakan oleh Allah. Rasulullah S.A.W berkongsi kelebihan solat Dhuha yang kita lakukan di dalam sabdanya :

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”  (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

5. Memperoleh Keuntungan Besar

Atau dalam bahasa Arabnya disebut Ghanimah. Dikisahkan bahawa Rasulullah S.A.W mengutus tentera Islam berperang melawan musuh Allah. Dengan izin Allah, tentera Islam menang dan  mendapat harta rampasan yang banyak. Orang ramai bercerita singkatnya peperangan itu dan banyaknya harta rampasan perang yang diperoleh. Kemudian Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa ada yang lebih utama dan lebih mudah memperoleh kemenangan dan harta rampasan yang banyak iaitu shalat Dhuha.

Rasulullah S.A.W bersabda : “Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.”  (Sahih al-Targhib : 666)

6. Mendapat Pahala Umrah. 

Rugi kalau kita tidak mahu lagi kerjakan solat Dhuha jika secara terang-terangan Allah menganugerahkan pahala umrah melaluinya. Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”  (Sahih Al-Targhib: 673)

Selepas selesai solat Dhuha, duduklah sebentar  dan berdoalah. Contoh doa disaran :



Bermaksud: “Sesungguhnya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, Kecantikan itu kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu,perlindungan itu perlindunganMU. Ya Allah jika rezekiku masih di langit turunkanlah, jika rezekiku masih dibumi, keluarkanlah, jika rezekiku dari yang haram maka persucikanlah ia, jika rezekiku jauh perdekatkanlah dan jika rezekiku sudah dekat maka permudahkanlah ia ya Allah, berkat waktu dhuhaMu, kecantikanMu, kekuasaanMu dan perlindunganMu.Limpahkanlah kepada kami sebagaimana kau limpahkan kepada orang-Orang yang soleh. Ya Allah!  Kurniakan lah kami kebaikan di dunia dan di akhirat. Lindungilah kami dari azab api neraka. Tiada Tuhan melainkan engkau dan tiada pada ku daya dan kekuatan selain izin dariMu ya Allah.Semoga Allah limpahkan selawat keatas nabi junjungan kami Nabi Muhammad SAW, ke atas keluarga dan sahabat sahabat baginda SAW.Segala puni bagi Allah tuhan semesta alam.

Kesimpulan: Solat Sunat Dhuha boleh dianggap sebagai rasa terima kasih seseorang hamba kepada Allah SWT atas segala berkah hidup yang diberikan-Nya. Sesuai dengan rasa terima kasih itu, dianjurkan solat Dhuha ini dikerjakan setiap hari dimana seseorang itu pasti akan memperolehi ketenangan jiwa serta kehidupan.InshaAllah


No comments:

Post a Comment